Hari pertama bergelar menantu sebuah keluarga di pantai timur membuatkan hati saya sangat berdebar-debar. Budaya, cara hidup semua berbeza. Yang sama antara saya dan keluarga suami adalah agama dan bangsa. Selepas kenduri hampir selesai di sebelah keluarga suami, keluarga saya juga sudah bersiap sedia untuk pulang ke kampung kami nun diutara. Waktu itu, hati saya cukup sebak. Airmata menitis laju. Berpisah dengan keluarga, dengan ibu tersayang walaupun padahal selama ni memang saya sentiasa berjauhan dengan keluarga. Mungkin kali ini, saya sudah bergelar isteri orang, dan bakal menggalas tanggungjawab yang besar. Semoga Allah permudahkan urusan saya.
Usai kenduri-kendara, tiba waktu malam, sanak-sedara suami masih berkumpul. Rupa-rupanya mereka mengadakan sembahyang hajat beramai-ramai untuk saya dan suami. Tersentuh sangat hati saya sebab siang kenduri kendara dan malam pulak mereka sembahyang hajat beramai-ramai mendoakan kebahagian rumah tangga kami. Ya Allah terima kasih mengurniakan ku keluarga mertua yang baik-baik.
Bukan itu sahaja, malam kedua saya di sana, seluruh keluarga mertua saya sembahyang berjemaah dan diimani oleh suami saya. Menitis air mata saya. Patutlah mereka sangat rapat. Sebab mereka sentiasa sembahyang jemaah. Sepanjang saya bersama suami saya, saya lihat mereka adik beradik sangat rapat. sentiasa menelefon bertanya khabar. Dan saya yakin 100%, ini adalah hasil solat jemaah yang mereka amalkan. Menurut suami saya, mereka adik beradik diajar solat jemaah sejak dari kecil. Waktu kecil solat jemaah diimani oleh bapa mereka tapi selepas abah meninggal dunia, solat jemaah diimani oleh anak-anak lelakinya. Dan semua anak-anak lelakinya boleh menjadi imam.
Suami saya mempunyai 10 orang anak buah yang berumur dari 5 tahun hingga lah ke 10 tahun. Dan ketika solat jemaah, anak-anak kecil tersebut di ajar untuk ikut solat bersama walaupun ada yang sentiasa menoleh ke kiri kanan. Yang dok jeling-jeling. Tapi bagi saya ia pelajaran yang cukup berguna untuk anak-anaknya.
Dan kini saya dah 3 tahun bersama suami saya. Saya lihat anak-anak saudara suami saya, dah terlatih untuk solat. Walaupun berumur 7,8 tahun, tapi mereka boleh bangun pagi untuk solat subuh. Emmm walhal ada orang dewasa yang berumur 30-an pun masih payah untuk bangun pagi solat subuh!
Jadi kesempatan yang ada, marilah kita amalkan solat jemaah bersama-sama keluarga. Moga-moga ukhwah keluarga kita makin rapat.
No comments:
Post a Comment