Pintu kayu yang sudah usang ditolak perlahan.Kriukkk….bunyi daun pintu apabila ditolak. Iman terhenti sejenak. Hatinya belum bersedia untuk meneruskan langkah kakinya masuk ke rumah usang itu. Tapi dia sudah tidak ada hala tuju lagi kecuali rumah usang yang hanya tinggal masa sahaja untuk rebah ke bumi. Kalaulah dulu dia tidak mengikut kata hati, mungkin rumah usang ini sudah bertukar menjadi rumah batu. Sambil mengendong anak kecilnya, Iman menguatkan semangat melangkah perlahan melangkah ke dalam rumah tersebut. Nasib baik anaknya tidak banyak kerenah hari ni.
Kedengaran suara batukan kecil seorang lelaki tua jelas sekali dipendengarannya.
“Ayah !” jerit hati Iman. Tapi perkataan itu seolah-olah tersekat dikerongkong. Mulutnya sudah tidak layak untuk menyebut nama itu. Sudah tidak mampu lagi untuk disebut. Mungkin dosanya pada kedua-dua orang tuanya setinggi gunung Everest. Masihkah ada ruang untuknya dan anaknya di dalam rumah usang tersebut. Masihkah ada sekelumit kasih untuknya didalam hati kedua-dua orang tuanya.
Tiba-tiba Iman terkejut apabila satu tangan menepuk bahunya dari belakang.
“ Ye nak, cari sapa “?
Langkah Iman terhenti, sapaan tersebut tidak disambut. Tubuhnya kaku, seluruh tubuhnya sejuk seakan-akan berhadapan dengan sesuatu yang amat menakutkan. Iman langsung tidak menoleh ke arah wanita tua yang menyapanya. Sudah lama telinganya kehausan untuk mendengar suara tadi. Sudah lama juga dia rindu untuk memandang wajah tua itu dan memeluk erat tubuh tua itu.
Airmatanya merembes keluar.
“Anak cari siapa? Boleh makcik tolong “, tanya wanita tua itu berulang kali. Dengan penuh debaran Iman menoleh dan lantas meluru memeluk ibunya.
“ Mak! Ampunkan Iman “, tangis Iman
“Ampunkan Iman, Mak. Iman berdosa pada mak dan ayah.” Segera Iman meletakkan anaknya dan memeluk kaki ibunya.
Mak Senah hanya diam tertunduk. Masih tergamam. Tiada lagi airmata di wajahnya. Dia hanya kaku melihat Iman bersama seorang anak kecil yang suci bersih tanpa sebarang dosa itu.
“argh, cucu aku”, rintih mak Senah dalam hati.
Anak kecil itu turut menangis seolah-olah mengerti apa yang berlaku. Menangis bersama-sama dengan Iman.
Iman terus meratap memohon ampun dari ibunya. Dari memeluk kaki sehingga lah mencium kaki ibunya. Biarlah, dia tak kesah. Yang diharapkan Cuma keampunan dari ibunya.
“Nah, ada apa bising-bising kat luar ni ? Apa yang berlaku? Sergah ayahnya yang baru muncul dari dalam.
“Ayah, ampunkan Iman. Iman berdosa. Ampunkan Iman” rayu Iman sambil berlari memeluk kaki ayahnya.
Airmata ayahnya gugur jua membasahi pipi yang sudah berkedut dimamah usia.
“Iman anakku” lantas diraih Iman dan dipeluk sekuat hati. Biarlah egonya dibuang jauh-jauh. Airmatanya semakin laju merembes keluar. Anak yang ditatang bagai minyak yang penuh suatu ketika dahulu dipeluk erat. Seolah-olah melepaskan rindu yang sudah lama terbuku dihati. Rindunya pada Iman masih segar seperti embun pagi. Rindunya pada Iman hanya Allah sahaja yang tahu. Hatinya mengucap syukur ke hadrat Ilahi.
“Ni anak kamu ke”?
“Ye ayah, anak saya, Nur Ain balqis”.
“ Sayang, ni atuk. Sayang atuk “.
Pak Seman lantas memeluk dan mencium cucunya. Argh, teringat pada Iman masa kecil-kecil dulu. Seorang anak yang cukup disayangi dan sangat comel.
“ Dah la tu maknya, jangan la termenung jauh. Iman dah balikkan. Dulu awak jugak yang selalu rindukan dia sampai demam-demam” tegur Pak Seman pada isterinya.
Mak Senah langsung tidak mengendahkan teguran suaminya. Dia melangkah ke dalam rumah tanpa menghiraukan Nurul Iman dan cucunya yang sedang menangis. Rajuk Mak Senah masih ada, masih berdarah. Hatinya masih terluka walaupun jauh di sudut hatinya meronta-ronta untuk memeluk dan mencium anaknya sepenuh hati. Anak yang ditatang bagai minyak yang penuh sanggup membuang dia hanya kerana seorang lelaki yang baru dikenalinya. Hatinya cukup terguris apabila Iman sanggup membelakanginya bernikah dengan Amran di luar negara. Hati ibu mana yang tidak terguris. Iman lah satu-satu anaknya. Iman lah racun dan Iman jugalah penawarnya.
“Iman, bawak anak kamu ke dalam. Lagipun dah hampir senja ni”.
“ Baik, ayah. Jom sayang, ikut Ummi masuk rumah atuk ye” ujar Iman sambil sambil mengendong Nur Ain Balqis.
Langkah Nurul Iman terhenti melihat suasana rumahnya yang masih tidak berubah. Semuanya serupa seperti sebelum dia meninggalkan rumah dulu. Sebuah frame gambar masih utuh tergantung. Gambar ketika menyambut hari lahirnya yang ke 15 tahun. Dan sepanjang hayatnya, itulah kali pertama mak dan ayahnya meyambut hari lahirnya. Mungkin kerana kesesakan hidup, kehidupan mereka hanya ibarat kais pagi makan pagi. Malah hari lahir itu disambut kerana desakan Iman yang ingin mengikut jejak rakan-rakanya yang lain.
Kerusi malas ayah masih sama, berada di sudut rumah. Di situlah mereka sekeluarga berkumpul, bergurau senda. Dan disitu jugalah dia menelaah pelajaran dengan ditemani oleh ibunya. Kadang-kadang ibunya sanggup bersengkang mata menemani Iman menyiapkan kerja sekolah sehingga ke pagi. Kadang-kadang Iman pelik, tidak letih kah ibunya. Awal-awal pagi ibunya akan bangun awal untuk membuat nasi lemak dan menjual dari rumah ke rumah. Kemudian ibunya akan membanting tulang membantu ayah di kebun. Kadang-kadang sampai petang baru balik dari kebun. Malam pula ibu akan tidur lewat menemaninya menyiapkan kerja sekolah.
“ Mak, Iman janji nanti bila Iman dah besar , bila Iman dah Berjaya Iman akan jadi Pensyarah. Lepas tu Iman akan buat rumah besar untuk mak dan ayah. Masa tu mak dan ayah tak payah kerja dah. Cuma rehat je di rumah”
Mak Senah hanya tersenyum mendengar kata-kata anaknya. Tangannya tidak henti-henti mengusap-usap kepala Iman dengan penuh kasih saying.
“Iman, mak tak perlukan semua tu, Cuma mak nak Iman belajar bersungguh-sungguh dah jadi orang berguna nak. Cukup la sekadar Iman tak lupakan mak dan ayah”
“ Ala mana boleh Iman lupakan mak dan ayah. Iman dah tak der sesiapa dah selain mak dan ayah. Iman sayang sangat mak dan ayah”. Ujar Iman lantas memeluk ibunya.
Lamunan Nurul Iman terhenti apabila mendengar tangisan anaknya.
“Iman, bawak anak kamu masuk bilik. Dah penat agaknya Balqis ni.”
Iman masih teragak-agak. Tidak tahu bilik mana yang harus dituju. Adakah biliknya masih bilik yang sama atau telah dijadikan bilik lain.
Pak Seman seakan-akan dapat membaca fikiran anaknya. Masakan tidak, dulu dialah tempat anaknya bercerita. Dialah tempat anaknya meluahkan segalanya. Cuma selepas apa yang berlaku kira-kira 10 tahun lalu telah memisahkan mereka. Walaupun, hatinya sudah cukup terluka dan terhiris dengan tindakan Iman tetapi sayang dan kasihnya pada Iman masih utuh. Tak pernah luntur walau sedetik biarpun Iman telah membuangnya dari kamusnya. Setiap hari dia tak pernah lupa untuk memohon pertolongan Allah agar melembutkan hati Iman untuk pulang ke kampong. Sekurang-kurangnya biarlah dia dapat menatap wajah Iman sebelum dia menutup mata.
“ Bilik Iman masih sama. Ayah dan mak tak pernah ubah apa-apa sebab kami yakin Iman akan kembali kepada kami” ujar ayahnya sayu. Airmatanya sekali lagi tumpah. Namun jauh dalam sudut hati dia amat bersyukur Iman telah kembali ke sisinya.
“ terima kasih ayah”. Iman melangkah kea rah bilik bersama-sama anaknya.
“ argh, semuanya masih sama seperti dulu. Tak berubah langsung. Katilnya terletak elok ditempat asal. Begitu juga almari bajunya. Malah tilamnya telah siap bercadar dengan warna kesukaannya. Tiada sedikit habuk pun di dalam biliknya. Bersih dan cantik. Di tepi-tepi dinding biliknya masih terdapat nota-nota yang ditampal suatu ketika dulu. Malah gambar artis pujaannya masih elok terpampang di dinding. Seingatnya dulu ayahnya cukup marah bila dia menampal gambar artis tersebut didinding. Kata ayahnya nanti malaikat tak masuk bilik. Yang paling menyedihkan, calendar yang tergantung dalam biliknya adalah calendar 10 tahun lalu. Walaupun warnanya sudah kekuningan tetapi dia masih ingat, Calendar itulah yang dihadiahkan oleh cikgunya kerana dia menolong membersihkan bilik guru. Dan dikalendar tersebutlah Iman mencatit segala tarikh-tarikh penting. Iman masih ingat, dia pernah memberitahu dengan ibunya bahawa dia sangat sayangkan calendar tu seperti dia sayangkan cikgu Nor. Cikgu Nor jugalah yang banyak membantu dia dan keluarganya.
“Iman, setiap hari mak kamu akan membersihkan bilik kamu ni. Seminggu sekali mak akan tukar cadar dan sarung bantal kamu. Walaupun ayah melarang, tetapi mak tetap buat juga. Mak terlalu rindukan Iman. Dan apabila mak rindukan Iman, mak akan masuk bilik Iman dan peluk cium baju-baju Iman. Mak akan menangis sepuas-puasnya di bilik Iman. Mak cukup marah kalau ada sesiapa yang masuk ke bilik Iman tanpa kebenaran mak” ujar ayah sambil mengesat airmata.
Iman tersedu-sedu menangis. Begitu besar pengorbanan ibunya. Dan begitu besar jugalah dosa dia pada ibunya. Sanggup membelakangi mak dan ayahnya semata-mata ingin berkahwin dengan Amran. Mungkin ini lah balasannya. Bahagia yang dikejar tetapi derita yang dikecapinya.
“Ya Allah ampunkan ku”, rintih Iman sendu.
“Andai dapat diundur masa, akanku korbankan segala-galanya demi Ibu dan ayah tersayang”.
Dalam sendu tangis, Iman menidurkan anaknya yang telah keletihan.
“ Ayah, mak masih marahkan Iman ke?
“ Mak bukan marahkan Iman, tapi mak masih sedih apa yang berlaku. Mungkin mak tak sangka Iman akan balik. Kejap lagi baiklah mak tu. Jangan risau” pujuk ayah.
…………………………. ................................................................................................................
Hati Mak Senah berdebar-debar apabila mendengar derap kaki melangkah menuju ke dapur. Bunyi lantai kayu berkeriuk apabila dipijak seolah-olah menambah getaran dijantungnya. Anak yang dirindui selama ini telah pulang ke pangkuannya, Nurul Iman. Dia tahu itu pasti derapan kaki Nurul Iman.
Mak Senah berpura-pura tidak perasan akan kehadiran Iman. Dia menyibukkan diri membuat kerja-kerja dapur . Selepas memasak, mak Senah segera membasuh pinggan. Kemudian mak Senah mengelap dapur dan meja. Entah kali ke berapa dia mengelap dapur dan meja pun dia tak pasti. Yang pastinya dia cuba mengelak dari berdepan dengan Iman. Masih marahkah dia dengan Iman ? Entahlah, dia sendiri pun tidak pasti. Cuma dia tidak sanggup bertentang mata dengan Iman. Pastinya airmatanya akan melimpah ruah seperti sewaktu Iman memilih untuk kahwin tanpa restunya dulu. Hasratnya untuk melihat Iman bersanding atas pelamin terkubur begitu sahaja. Tapi bukan sebab itu yang melukakan hatinya. Tapi sikap Iman yang membelakangkannya.
...........................................................................................................................……………..
Iman tahu ibunya cuba mengelak dari bertentang mata dengannya. Walaupun begitu, Iman dapat lihat jelas wajah ibunya yang sudah dimamah usia. Terdapat banyak kedutan diwajah ibunya tidak seperti sepuluh tahun yang lepas, masih tegang dan cantik. Tapi ibunya sudah tidak segelap dulu, mungkin ibu sudah tidak lagi berjemur dibawah panas terik mentari demi mencari sesuap nasi. Yang paling menyedihkan, wajah ibunya sangat cengkung dan badan ibu sangat kurus. Tapi wajah ibunya cukup jernih sehingga menenangkan hati sesiapa yang memandangnya. Kecantikan ibu masih jelas walau sudah dimamah usia
“argh, mungkin ibu terlalu merindui aku. Mungkin ibu terlalu sedih dengan perbuatan aku.”, keluh hati Nurul Iman
“Mak, ampunkan Iman mak. Iman sayangkan mak.Iman rindukan mak” tangis Iman sambil meluru memeluk ibunya.
Mak Senah hanya diam membisu membiarkan Iman memeluknya. Dia sudah tidak dapat mengelak dari bertentangan dengan Iman lagi. Tapi hatinya seolah-olah sudah kosong. Tiada lagi airmata untuk ditangiskan.
“Mak, iman sujud pada kaki mak. Ampunkan Iman”. Rintih Iman lantas melirih memeluk dan mencium kaki ibunya. Tanpa mempedulikan kehadiran bapanya, Iman sujud pada kaki ibunya memohon ampun dengan tangisan yang penuh syahdu.
“ Ampunkan Iman mak. Iman banyak berdosa dengan mak”.
Akhirnya hati mak senah lembut juga. Airmatanya merembes keluar. Tangisannya berlagu pilu. Kini, anak yang dinanti-nantikan selama sepuluh tahun telah pulang. Anak yang dirindui setengah mati telah pulang. Allah telah memakbulkan doanya. Allah telah mendengar rintihan hatinya. Allah masih menyanyanginya. Terima Kasih Allah. Segala puji hanya untukMu Ya Allah.
Lantas mak Senah duduk merangkul tubuh Iman dan dipeluk erat seolah-olah tidak mahu dilepaskan lagi. Dicium anaknya berkali-kali, bertubi-tubi. Pak Seman turut menangis sendu. Keluarganya telah kembali bersatu. Itulah doa yang tidak pernah putus setiap kali selepas menunai solat. Iman kembali membawa cahaya dalam hidup dia dan isterinya. Hatinya berbunga riang apabila Mak Senah sudah kembali mengukir senyuman. Senyuman yang telah lama mati. Senyuman yang sangat dirindui sejak sepuluh tahun yang lalu.
No comments:
Post a Comment